Program SEED Menghimpunkan Peserta Antarabangsa untuk Merasai dan Mempromosikan Budaya dan Warisan Tempatan Malaysia

KHAMIS I 16 MAC 2023 - Social Enterprise for Economic Development (SEED) ialah program pembelajaran berpusatkan pelajar dan tanggungjawab sosial. Program ini memerlukan pelajar menjalin hubungan kerjasama dalam pasukan yang terdiri daripada pelbagai negara dan budaya. Program ini memberi ruang kepada peserta untuk merasai pengalaman belajar berdasarkan konteks kehidupan sebenar dalam perkampungan masyarakat tempatan.

Program SEED ini telah dilaksanakan secara fizikal pada 8 hingga 15 Mac 2023 bertempat di Kampung Aur Duri, Salor Pasir Mas, Kelantan yang dikendalikan oleh Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan. Seramai 33 orang peserta dari pelbagai negara yang menyertai program ini seperti Malaysia, Brunei, Thailand, Turki, Oman, Nigeria dan China.

Para peserta didedahkan dengan keunikan seni kebudayaan penduduk tempatan seperti permainan tradisional iaitu wayang kulit, silat dan dikir barat. Selain itu, pemprosesan makanan tradisi turut dirasai sendiri oleh peserta seperti kuih bahulu dan sarang tebuan. Hal ini memberi pengalaman baru kepada para peserta yang melihat sendiri keindahan seni warisan budaya dan makanan masyarakat tempatan yang kaya dengan nilai kebudayaan. Pelajar juga diberi tugasan untuk mengkaji secara lebih mendalam warisan budaya kemudian dibentangkan kepada penilai yang terdiri daripada pihak industri, NGO dan ahli akademik.

Program ini telah memberi manfaat dan pengalaman berharga kepada peserta yang merasai sendiri keunikan budaya yang berbeza di samping dapat mempromosikan budaya tempatan yang unik kepada dunia luar.